Wednesday, October 13, 2010

Obesiti di kalangan Kanak-kanak (Terbit di Dewan Masyarakat 10 Oktober 2010)

Dr Tam Cai Lian
Pensyarah
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Monash Sunway,
Bandar Sunway, Petaling Jaya.


Tahun kebelakangan ini obesiti telah menjadi masalah yang umum di kalangan anak. Menurut laporan statistik Pusat Kesihatan Kebangsaan (National Center for Health Statistic) tahun 2002, anggaran kasar obesiti untuk kanak-kanak dan remaja ialah 15% daripada jumlah penduduk di USA. Ramai orang mempunyai anggapan bahawa obesiti di kalangan orang dewasa akan membawa lebih banyak kesan negatif samada dari segi fizikal ataupun mental berbanding dengan kanak-kanak.

Kes obesiti semakin serious di kalangan kanak kanak dan remaja di negara-negara membangun (Kelishadi, WHO 2007). Penyakit obesiti merupakan faktor utama yang mengakibatkan sindrom metabolic iaitu sindrom yang tinggi di kalangan penduduk dewasa di Asia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa pada tahun 2015, lebih kurang 2.3 bilion penduduk di dunia akan mempunyai berat badan yang lebih dan 700 juta penduduk dunia akan mengalami obesiti. Di Malaysia, peningkatan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berumur 7-10 tahun adalah sebanyak 6.6% bagi umur tujuh tahun ke 13.8 % bagi umur 10 tahun. Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan adalah berisiko untuk menjadi obes apabila dewasa dan keadaaan ini akan menjurus kepada kewujudan masalah kronik yang lain pada masa hadapan (Chee et al, 2008)
Pada hakikatnya jika orang dewasa menghadapi masalah obesiti, mereka akan mencuba cara-cara yang berkesan untuk mengurangkan berat badan. Manakala untuk kanak-kanak, disebabkan usia yang muda dan kekurangan dari segi kematangan fikiran dan pengalaman obesiti, mereka akan membiarkan dengan begitu sahaja masalah sedemikan melainkan mendapat nasihat dan bantuan daripada orang dewasa.
Obesiti merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Ia kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan membawa masalah kesihatan yang serius. Selain daripada menghadkan kegiatan fizikal dan sosial, ia juga mengancam jangka hayat penghidap.

Pada tahun 2002, Wang, Monteiro dan Popkin telah menjalankan satu kajian di United States, Cina, Brazil dan Rusia berkenaan obesiti. Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa berat badan golongan remaja telah meningkat pada 2 dan 3 abad kebelakangan ini. Di negeri Cina misalnya, berat badan remaja meningkat sebanyak 7.7%, Brazil 13.9% dan U.S 25.6%. Pada hakikatnya, tabiat pemakanan telah terbentuk sejak zaman kanak-kanak. 80% daripada kanak-kanak yang menghadapi masalah obesiti akan dibawa ke peringkat dewasa.

Di samping itu, pakar psikologi turut menunjukkan bahawa peruntukan jumlah masa yang panjang untuk menonton televisyen membawa kesan negatif terhadap kesihatan badan. Di antaranya ialah mengakibatkan obesiti. Ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka tidak menonton televisyen melebihi empat jam sehari untuk mengelakkan obesiti. Ketika menonton televisyen, anak-anak hanya duduk dan tidak bergerak. Kesannya akan lebih ketara jika mereka sambil menonton televisyen sambil makan makanan ringan.

Faktor-faktor yang Menyebabkan Obesiti

Faktor utama yang mengakibatkan obesiti ialah genetik dan persekitaran. Ada di antara individu yang mengadu bahawa mereka mengawal tabiat pemakanan namun masih menghadapi masalah berat badan kerana mewarisi ibu bapa yang berbadan gemuk. Stunkard (2000) melaporkan bahawa 10% daripada kanak-kanak yang obes dengan kedua-dua ibu bapa yang berat badannya normal, 40% daripada kanak-kanak yang obes dengan salah seorang daripada ibu bapanya obes dan 70% daripada kanak-kanak yang obes mempunyai kedua-dua ibu dan bapa yang obes.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Natinal Centre for Health Statistic dari tahun 2004 hingga 2006, ke atas 87 000 orang dewasa U.S atas punca berlakunya obesiti ialah kekurangan tidur (kurang daripada 6 jam) atau tidur terlalu banyak (melebihi 9 jam), menghidap rokok, mengambil alkohol dan kekurangan aktiviti fizikal.

Makanan dan Kesesuaian

Pemakanan yang sihat sangat penting untuk tubuh badan kita. Pemakanan yang sihat dapat membantu menghasilkan tenaga serta membolehkan kita bekerja dengan lebih baik. Tentu ramai di kalangan anda yang gemar menghabiskan masa berada di hadapan televisyen. Aktiviti sedemikian memang menyeronokkan, tetapi anda harus sedar bahawa aktiviti statik iaitu hanya duduk dan tidak sedikit pun menggerakkan badan bagi membakar kalori mudah menyebabkan kegemukan. Untuk merangsang tubuh badan supaya bergiat aktif, anda digalakkan melakukan aktiviti agresif seperti bermain, menari, menyertai acara sukan, mengemas rumah ataupun mencuci kereta di waktu yang bersesuaian dengan keupayaan anda. Dengan melakukan aktiviti seperti ini, kita juga dapat membina badan yang sihat dan otak yang cergas.
Untuk menjaga kesihatan badan iaitu dengan berat badan yang terkawal, kita seharusnya mengutamakan pemakanan yang bersesuaian, jauhilah makanan yang mengandungi banyak lemak dan kalori. Tetapi, jangan berlapar sehingga badan berubah menjadi kurus. Makanlah dengan cukup. Oleh itu, banyakkan makan makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana badan anda amat memerlukan makanan sedemikan.

Apakah Indeks Jisim Badan?

Indeks Jisim Badan (BMI) merupakan pengukuran tidak langsung komposisi badan kerana ia amat berkaitan dengan lemak yang terdapat dalam berat badan serta ketinggian seseorang individu.
Indeks Jisim Badan
Status BMI
Kurus Kurang daripada 20.6
Normal 20.7-26.4
Gemuk 26.5-30.9
Obesiti 31.0-45.2
Bahaya Lebih 445.3

Ukur berat badan anda dalam kilogram (kg) dan tinggi dalam meter (m):

BMI = Berat (kg)
------------------------------
Tinggi (m) x Tinggi (m)


Setelah mendapat keputusan BMI, anda bolehlah merujuk kepada carta di atas bagi menentukan sama ada Ideks Jisim Badan anda adalah normal.
Kesimpulan

Obesiti membawa kesan yang negatif terhadap kesihatan badan. Dari segi perkembangan biologikal, berat badan yang berlebihan mempunyai hubungan yang erat dengan tekanan darah tinggi, punggung dan peha yang terlampau besar, masalah pulmonari dan penyakit kencing manis. Dari segi perkembangan sosioekonomi pula, anak-anak yang harga diri yang lebih rendah dan menghadapi lebih banyak masalah hubungan dengan rakan-rakan sebaya. Di antara intervensi yang berguna untuk mengurangkan berat badanialah:
• Mengurangkan kalori pemakanan.
• Bersenam seperti berjalan kaki, berbasikal, mendaki bukit, menari dan
lain-lain.
• Elakkan daripada duduk terlalu lama seperti menonton televisyen, bermain
komputer dan lain-lain lagi.
• Terapi tingkah laku merekodkan kehilangan berat badan dan memberi ganjaran
selepas mencapai matlamat.

http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=535

No comments:

Post a Comment

Post a Comment